Jumaat, 6 Oktober 2017

Kelebihan Malam Jumaat dan Hari Jumaat serta Amalannya

Dalam hadis-hadis yang shahih banyak dijelaskan, bahawa permulaan Rasulullah SAW mengerjakan solat Jumaat pertama kali ialah di Madinah, dimana setelah Rasulullah sampai di Quba’ dalam perjalanan ke Madinah, Rasulullah berhenti di kampung Amr Ibn ‘Auf. Baginda tinggal disitu selama beberapa hari iaitu dari hari Isnin higga hari Khamis. Dalam masa empat hari itu baginda telah membina sebuah masjid bersama dengan kaum Muslimin.kemudian pada hari Jumaat Rasulullah meneruskan perjalanannya. Ketika tiba waktu solat Jumaat baginda telah sampai ke kampung Bani Salim Ibn ‘Auf.
Maka baginda terus mengerjakan solat Jumaat di salah satu masjid di dalam sebuah lembah. Maka itulah permulaan solat Jumaat yang dilaksanakan Rasulullah SAW di daerah Madinah. Khutbah Rasulullah yang pertama yang disampaikan ialah mengenai jumlah orang yang mengikuti solat Jumaat dan mengenai syarat jamaah dalam mendirikan solat Jumaat. Tambahan lagi, kaum muslimin wajib mengerjakan solat Jumaat di mana sahaja dia berada. Sebab dinamakan solat Jumaat diantaranya ialah dikerjakan pada hari Jumaat. Selain itu, sesetengah ulama’ berpendapat bahawa dinamakan solat Jumaat kerana pada hari itu para penduduk berkumpul atau berjamaah. Menurut Al-Allamah Muhammad Ahmad Syakir pula menegaskan bahawa jemaah itu merupakan suatu tuntutan yang berdiri sendiri yang bermaksud mereka yang tidak menghadiri solat Jumaat tanpa ada halangan atau uzur maka ia berdosa. Sementara itu menurut mazhab Imam Syafi’I berjamaah dalam mengerjakan solat Jumaat itu wajib dan termasuk dalam syarat sah mendirikan solat Jumaat.
Seandainya seseorang meninggalkan atau tertinggal atau tidak sempat menunaikannya harus menggantinya dengan solat Zohor. Solat Jumaat ialah solat dua rakaat sesudah khutbah pada waktu Zohor di hari Jumaat. Hukumnya ialah fardu Ain, ertinya wajib keatas tiap-tiap lelaki yang dewasa, yang beragama islam, merdeka dan bermaustatin. Tidak wajib keatas perempuan, kanak-kanak, hamba sahaya dan orang yang sedang dalam perjalanan.
Firman Allah SWT;
“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu diseur untuk solat pada hari Jumaat, maka hendaklah kamu segera mengingat Allah dan tinggallah jual beli”. (Al-Jum’ah:9)
Kemudian Raulullah bersabda;
“Jumaat itu hak yang wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang islam dengan berjamaah bersama-sama, kecuali empat macam, hamba sahaya, perempuan, kanak-kanak, dan orang sakit.” (HR Abu Daud dan Hakim)
Antara halangan dalam mengerjakan solat Jumaat pula ialah kerana sakit yang memudaratkan dan hujan iaitu apabila hujan itu menimbulkan kesukaran seseorang itu hendak ke masjid. Khutbah Jumaat mempunyai rukun dan syarat. Antara rukun dua khutbah Jumaat ialah mengucap puji-pujian kepada Allah, selawat keatas Rasulullah SAW, mengucap syahadah, berwasiat atau memberikan nasihat, membaca ayat Al-Qur’an pada salah satu khutbah, mendoakan untuk mukminin dan mukminat pada khutbah kedua. Antara syarat-syarat dua khutbah pula ialah hendaklah kedua-dua khutbah itu dimulai sesudah tergelincir matahari, sewaktu berkhutbah khatib hendaklah berdiri jika berkemampuan, ksatib hendaklah duduk di antara dua khutbah, hendaklah bersuara jelas mudah didengari oleh siding Jumaat, hendaklah berturut-turut(baik rukunnya atau jarak keduanya mahupun dengan solat), khatib hendaklah suci daripada hadas dan najis dan khatib harus menutup aurat.
Hikmah mengerjakan solat Jumaat pula ialah dapat mendidik umat Islam untuk hidup bermasyarakat dengan tertib dan teratur. Selain itu, solat Jumaat mengandungi nilai-nilai rohaniah dan kemasyarakatan yang sangat tinggi disamping bertujuan menyatukan kaum muslimin dan menumbuhkan rasa kasih sayang sesama umat Islam. Tambahan lagi dapat membangun persatuan kaum muslimin yang kuat dan dapat memuhasabahkan diri.
HIKMAH HARI JUMAAT
Antara hikmah-hikmah yang terdapat dalam buku ini ialah hari yang paling utama. Disini terdapat dua hadis yang menyatakan hari Jumaat adalah hari yang paling utama. Yang pertama, Abu Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Aus bin Aus ra. Berkata , Rasulullah SAW bersabda :
“Sesungguhnya yang utama dari hari-harimu ini ialah hari Jumaat, di dalamnya terjadi Nabi Adam as, dan pada hari itu juga beliau wafat, dan pada hari itu juga akan ditiup sangkakala, dan pada hari itu juga akan mati semua makhluk. Maka perbanyakanlah membaca selawat kepadaku, kerana selawatmu itu disampaikan kepadaku.”
Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah menjelaskan.
“Barang siapa yang pergi ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu pertama, maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor unta. Dan siapa yang pergi pada saat kedua, maka seolah-olah ia telah mengorbankan seekor lembu. Siapa yang pergi pada saat ketiga, maka seolah-olah dia telah pergi mengorbankan sekor biri-biri. Siapa yang pergi ke masjid pada saat keempat, maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor ayam. Dan siapa yang pergi ke masjid pada waktu kelima, maka seolah-olah telah menghadiahkan sebiji telur. Kemudian apabila imam telah, maka ditutuplah pintu cacatan, diletakkan pena dan berkumpullah para malaikat di sisi mimbar untuk mendengarkan khutbah. Siapa yang datang selepas itu, maka ia hanya datang untuk hak solat sahaja , dia tidak memperoleh apa-apa keutamaan” (HR Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)
Hikmah yang kedua yang boleh diperoleh pada hari Jumaat ialah masa yang mustajab untuk berdoa. Pada hari Jumaat ini adalah masa yang paling bagus dan mustajab jika kaum Muslimin berdoa dan mengharap sesuatu daripada Allah SWT. Dari Abdurrahman bin Yazid dan Abu Lubabbah bin Abdil munzir, Rasulullah SAW bersabda:
“Hari Jumaat besar di sisi Allah, bahkan labia besar dari Hari Aidil Fitri dan Aidil Adha, dan di dalamnya ada lima kelebihan iaitu, hari Allah menjadikan Nabi Adam as, hari Allah menurunkan Nabi Adam as ke bumi, hari wafatnya Nabi Adam as, pada hari itu ada saat mustajab, tiada seorang pun yang berdoa saat itu melainkan Allah pasti memberinya, selama tidak meminta yang haram dan pada hari itulah akan berlakunya kiamat dan tiada seorang Malaikat Muqarrab di langit atau dibumi melainkan ia merasa khuatir(sayang) pada hari Jumaat”
Mengenai masa yang mustajab memohon doa kepada Allah, Rasulullah ada menyebutkan;
“Sesungguhnya Rasulullah membicarakan tentang hari Jumaat ia berkata. “ Padanya terdapat suatu saat yang tidak ditemui oleh seorang hamba(Allah) yang Muslim dengan ia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dimohonnya akan diberikan kepadanya. Ia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkatkan.” (HR Bukhari dan Muslim)
Yang ketiga ialah hari penambahan kurnia. Banyak hadis yang menerangkan bahawa hari Jumaat ini merupakan hari tambahan kurnia dari Allah SWT untuk para hambanya. Hikmah yang keempat ialah hari penuh keampunan dan barakah. Yang kelima ialah hari untuk umat Muhammad SAW. Allah berfirman:
“Hai Musa, untukmu hari Sabtu, untuk Isa hari Ahad, untuk Al-Khalil Ibrahim hari Isnin, untuk Zakaria hari Selasa, untuk Yahya hari Rabu, untuk Adam hari Khamis dan untuk Muhammad SAW beserta umatnya hari Jumaat” Menurut keterangan Rasulullah SAW hari Jumaat adalah penghulu sekelian hari yang mengandungi ketinggian. Hikmah yang keenam pula ialah terpelihara dari fitnah kubur iaitu orang-orang yang matinya pada hari atau malam Jumaat, dipelihara Allah ia dari fitnah kubur. Dalam sebuah hadis ada menyatakan : “Dari Abdullah bin Amr ra. Dari Nabi SAW beliau bersabda: Tidaklah dari seseorang Muslim yang mati pada hari atau pada malam Jumaat, melainkan ia dipelihara Allah dari fitnah kubur.” (HR Tarmizi)
Hikmah yang ketujuh ialah baik untuk melangsungkan pernikahan. Telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra. Ia berkata, Rasulullah telah ditanya oleh orang tentang hari Jumaat, maka baginda menjawab:
“Hari Jumaat adalah hari silaturrahim dan hari pernikahan.”
Kemudian sahabat bertanya lagi:
“Mengapa demikian ya baginda?”
Rasulullah pun menjawab:
Kerana para anbiya’ pada masa lalu melaksanakan pernikahan pada hari tersebut. Antaranya ialah pernikahan antara Nabi Adam as dengan Siti Hawa, Nabi Yusuf as dengan Siti Zulaikha, Nabi Musa as dengan Shafrawa, Nabi Sulaiman as dengan Puteri Balqis, Nabi Muhammad SAW dengan Siti Khadijah, Rasulullah SAW dengan Siti Aisyah dan pernikahan antara Sayyidina Ali bin Abi Talib dengan Fatimah.
AMALAN MALAM JUMAAT
Pada malam Jumaat ini banyak amalan-amalan yang mesti kita lakukan dalam usaha kita memperbanyakkan amal ibadah kepada Allah SWT dan janganlah sesekali kita mengharapkan keutamaan semata-mata sehingga kita lupa bahawa semuanya itu merupakan tanggungjawab yang mesti kita laksanakan. Di antara amalan-amalan malam Jumaat yang boleh kita lakukan ialah yang pertama membaca surah Al-Kahfi. Bahawa sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat itu, Allah mengampuni dosanya dari Jumaat ke Jumaat. Ianya diberi cahaya kesucian oleh Allah antara Jumaat ke Jumaat. Sabda Rasulullah SAW;
“Dari Abu Said Al-khudri ra dari Nabi Muhammad SAW. Baginda bersabda:Siapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka disinari Allah baginya dengan antara dua Jumaat.” (Diriwayatkan oleh Baihaqi)
Amalan yang kedua yang harus kita amalkan ialah membaca surah Yaasin. Dari Abu Hurairah ra. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda ;
“Siapa yang membaca surah Yaasin pada malam Jumaat maka pagi-pagi ia mendapat pengampunan.”
Mengenai keutamaan surah Yaasin, Nabi Muhammad SAW telah menyebut dalam hadisnya :
“Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati, adapun hati al_Quran adalah Yaasin. Siapa yang membaca Yaasin, maka Allah menulis baginya dengan membacanya itu seperti membaca al-Quran sepuluh kali.” (HR Tarmizi)
Selain itu, kita harus memperbanyakkan zikir, doa dan selawat. Terdapat banyak hadis-hadis yang menyebut tentang selawat kepada Nabi. Diantaranya ialah; Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat –Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang beriman ucapkanlah selawat dan salam yang sempurna kepadanya(Nabi).” (Al-Ahzab:56)
Dari Abdullah bin Amar bin Ash ra sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Siapa yang mengucapkan selawat kepadaku, Allah berselawat(memberi rahmat) kepadanya sepuluh kali kerana selawatnya itu.” (HR Muslim)
Dari Abdullah bin Mas’ud ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :
“Manusia yang paling utama bersamaku nanti pada hari Kiamat, ialah orang yang paling banyak mengucapkan selawat kepadaku.” (HR Tarmizi)
Dari Abu Hurairah ra ia berkata Rasulullah SAW bersabda:
“Jangan kamu jadikan kuburku tempat berhari raya dan ucapkanlah selawat kepadaku, kerana selawatmu itu akan sampai kepadaku, di mana kamu berada.” (HR Abu Daud)
Amalan yang keempat yang boleh dilakukan ialah solat malam Jumaat. Iaitu solat yang didirikan di antara waktu Maghrib dan Ishak dengan 12 rakaat. Tiap dua rakaat dengan satu salam. Amalan yang lain adalah seperti berjimak iaitu bersetubuhan. Berjimak dengan isteri diberi pahala oleh Allah SWT sekiranya dilakukan dengan adab yang diajar oleh islam.
Imam Syafie berpendapat, ada tiga malam dalam seminggu hukumnya sunat menjimak isteri. Malam-malam tersebut ialah malam Jumaat, malam Khamis dan malam Isnin. Ini kerana Nabi Muhammad SAW mendekati isteri-isteri baginda pada malam-malam tersebut.
Antara adab-adab berjimak ialah hari yang utama iaitu malam Isnin, malam Khamis dan malam Jumaat, mengucapkan salam, lakukan dengan hati yang gembira, berpakaian bersih dan wangi, nikmati kepuasan bersama-sama, berwudhuk sebelum berjimak, menggunakan selimut, membaca doa sebelum dan selepas berjimak, bersifat lemah lembut, mensyukuri nikmat, dan membersih kemaluan setelah berjimak.
Amalan yang seterusnya ialah Qiyamulail(solat malam) iaitu bangun pada waktu malam hari untuk mengerjakan ibadah kepada Allah SWT serta bermunajat kepadaNya untuk memohon keampunan dengan mengerjakan ibadah solat seperti solat sunat tahajjud, solat sunat tasbih, solat sunat taubat, solat sunat hajat, solat sunat witir serta solat sunat yang lain. Kemudian banyakkan zikir, bertasbih, bertahmid dan bertakhbir serta memperbanyakkan permohonan dan doa kepada Allah SWT. Keutamaan Qiyamullail di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Solat yang paling utama setelah solat wajib iaitu qiyamullail atau solat di tengah malam” (Riwayat Muttafaqun Alaih) Selain itu keutamaan solat Qiyamullail dapat menghindarkan diri daripada gangguan syaitan seterusnya mendapat nikmat kerana dapat berhubungan langsung dengan Allah SWT.
AMALAN DI SUBUH JUMAAT
Pada subuh di hari Jumaat kita masih dituntut supaya memperbanyakkan amal kepada Allah SWT walaupun pada malam hari kita sudah banyak melakukan amal ibadah kepada Allah SWT. Di antara amalan-amalan yang boleh kita lakukan pada subuh Jumaat iti ialah yang pertama doa sebelum solat subuh.
“Aku memohon keampunan dari Allah SWT, tiada Tuhan selain Dia yang Hidup lagi yang Berdiri dengan Sendirinya, aku bertaubat kepada-Nya”
Doa ini dibaca sebanyak tiga kali. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa yang ada pada kita seterusnya diri kita terhindar dari perbuatan dosa kecil mahupun dosa besar.
Amalan yang kedua ialah membaca surah As-Sajadah dan membaca surah Al-Insan. Surah surah ini diharapkan dapat diamalkan.
Amalan yang ketiga ialah memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT. Setelah mengerjakan solat Jumaat atau solat-solat wajib yang lain maka usahakanlah dengan banyak mengingat Allah SWT dengan berzikir dan memuji kebesaran Allah SWT.
Amalan yang keempat pula berselawat keatas Rasulullah SAW. Terdapat banyak selawat yang boleh kita amalkan, baik pada hari Jumaat mahupun pada hari-hari yang lain. Selawat terhadap Rasulullah SAW mempunyai keutamaan atau fadhilat. Antara selawat yang mempunyai banyak fadhilat ialah selawat yang dapat menghapuskan dosa selama 80 tahun dimana dilakukan membaca selawat setiap sesudah Ashar pada hari Jumaat sebanyak 80 kali. Selawatnya ialah;
“Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada Sayidina Muhammad seorang hamba, Nabi dan utusanMu yang ummi”
Selain itu, selawat yang kedua ialah dapat mengangkat darjat dan kebaikan. Barangsiapa yang membaca selawat yang bermaksud:
“Ya Allah, wahai zat yang kekal anugerahnya kepada manusia. Wahai Zat yang membuka tangan yang luas dengan pemberian. Wahai Zat yang mempunyai pemberian-pemberian yang murni, limpahkanlah rahmat kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW iaitu sebaik-baik manusia di dalam akhlaknya. Ampunilah aku, wahai Zat yang memiliki keluhuran pada malam ini.”
10 kali pada malam Jumaat atau siang hari Jumaat, maka Allah menetapkan baginya sejuta kebaikan, dan menghapus sejuta dosa daripadanya serta mengangkat sejuta darjat untuknya. Selawat yang mendapat fadhilat yang ketiga pula ialah selawat mohon hajat dunia dan akhirat.
“Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada penghulu kami Nabi Muhammad dan kepada ahli keluarga baginda.”
Sesiapa yang membaca selawat ini sebanyak 100 kali, maka Allah SWT akan mendatangkan kepadanya 100 hajat dimana yang 30 di dunia dan selebihnya di akhirat. Seterusnya ialah selawat mohon Husnul khatimah. Selawat yang bermaksud;
“Ya Allah limpahkanlah rahmat dan keselamtan atas junjungan kita Nabi Muhammad dan para keluarga serta sahabat baginda dengan jumlah segala sesuatu yang ditulis oleh Qalam Tuhan.”
Keutamaan selawat ini jika dibaca 10 kali sesudah solat maghrib akan meninggal dunia (Husnul Khatimah) dengan membawa kebaikan dan keimanan. Selawat-selawat yang lain yang mempunyai keutamaan dan fadhilat ialah selawat murah rezeki dan menghindari bahaya. Keutamaannya apabila membaca selawat ini nescaya akan terhindar dari segala bahaya, serta memperoleh rezeki dengan mudah.
Akhir sekali selawat agar mendapat keampunan Allah SWT. Dengan membaca selawat ini sebelum duduk maka dosanya sebelum duduk diampunkan begitu juga jika membaca selawat ini sebelum berdiri maka dosanya sebelum berdiri diampunkan Allah.
Amalan di subuh hari yang seterusnya ialah memperbanyakkan doa. Pelbagai doa yang boleh kita amalkan sebagai umat Islam seperti doa memohon kebaikan di dunia dan di akhirat, doa mendapat kenikmatan (syurga ) Illahi, doa menjauhi gangguan syaitan supaya terlindung dari hasutan dan godaan syaitan, doa agar diampunkan dosa, doa agar terhindar perkara buruk seperti fitnah hidup atau fitnah mati dari tekanan hutang mahupun dari gangguan manusia, doa mohon rahmat dan ampunan Allah, doa terhindar dari segala bencana, doa meluruskan hati iaitu doa memohon petunjuk, doa memohon ampunan lahir dan batin, doa mohon perlindungan daripada kemarahan Allah dan doa memenuhi urusan dunia dan akhirat.
Selain itu terdapat banyak lagi doa yang dapat kita amalkan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Semua itu merupakan rendah hati seorang hamba terhadap Allah SWT, sehingga segala sesuatu yang ada didunia merupakan pemberian Allah semata-mata. Oleh itu hanya kepada Allah kita memohon dan menyerah diri serta mengadu nasib, agar segala sesuatu yang kita hajatkan dikabulkan Allah SWT.
AMALAN SIANG JUMAAT
Beberapa amalan menjelang solat Jumaat yang patut dilakukan oleh umat Islam, antaranya ialah melakukan solat sunat Dhuha. Solat sunat dhuha dilakukan ketika matahari sedang naik iaitu di antara jam 8.00 pagi sehingga jam 11.00 pagi dengan jumlah rakaat yang tidak terbatas dari dua rakaat hingga dua belas rakaat. Tiap dua rakaat dengan satu salam. Selain itu, kita harus mandi sebelum pergi solat Jumaat untuk menghalang bau yang tidak sedap di badan. Seterusnya, memakai wangi-wangian.
Amalan yang keempat ialah bersegera ke solat Jumaat. Ini kerana, pergi ke solat Jumaat dengan segera mendapat pahala yang besar sekali. Yang kelima pula mengerat kuku dan mencukur misai. Yang keenam doa ketika pergi ke masjid supaya mendpat petunjuk daripada Allah dan mendapat cahaya keimanan. Yang ketujuh ialah berjalan kaki dan tidak terburu-buru kerana setiap langkah tanpa berkenderaan mendapat labia banyak keutamaan dari yang cepat sampai dengan berkenderaan.
Amalan yang kelapan ialah mengamalkan doa masuk masjid pada hari Jumaat untuk memohon rahmat dan petunjuk daripada Allah SWT.
Amalan seterusnya ialah apabila berada di dalam masjid jangan melangkah tengkuk orang lain iaitu jangan melangkahi tengkuk orang-orang yang ada di dalam masjid kerana ingin saf yang dihadapan. Yang terakhir ialah memperbanyakkan berzikir dan berdoa antaranya membaca al-Qur’an, berzikir, berdoa, dan berselawat kepada Rasulullah SAW. Sebaik-baiknya gunakan hari Jumaat dengan benar-benar kusyuk dalam beribadah dan mengharap keampunan dari Allah SWT dan hindarkan dari membicarakan tentang orang iaitu mengumpat dan menyakiti hati orang lain kerana pada hari Jumaatlah hari yang boleh kita manfaatkan untuk memenuhi ibadah selain mendapat pahala yang berlipat kali ganda berbanding hari-hari yang lain.
Selain itu juga terdapat beberapa amalan selesai solat Jumaat yang dapat diketahui dan diperaktikkan dalam mencapai kehidupan yang sempurna. Setelah selesai mengerjakan solat Jumaat, usahakanlah untuk membaca ayat-ayat al-Qur’an untuk menambah pahala yang besar dari Allah SWT. Antaranya ialah membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tujuh kali. Kemudian membaca surah Al-Falaq sebanyak tujuh kali, surah An-Nas sebanyak tujuh kali juga. Yang keempat membaca doa yang mendapat keutamaan sebanyak tiga kali dan jika bersanggupan sebaik-baiknya 70 kali.
Doanya bermaksud;
“Wahai Tuhanku, wahai Tuhan yang Maha Kaya lagi Maha terpuji, wahai Tuhan yang menciptakan sesuatu dari permulaannya, wahai Tuhan yang mengembalikan hidup sesuatu. Wahai Tuhan yang Maha Rahim yang Maha Penyayang, limpahkanlah kecukupan kepadaku dengan barang-barang yang halal hingga aku tidak memerlukan barang yang haram dan perkayakanlah akan daku dengan keutamaan-Mu dari segala orang yang selain-Mu.”
Amalan yang kelima ialah mengerjakan solat sunat Ba’diah Jumaat setelah selesai solat Jumaat. Setelah selesai semua yang dinyatakan diatas bolehlah bertebar mencari rezeki seperti yang dimaksudkan oleh Firman Allah SWT:
“Apabila telah ditunaikan sembahyang maka bertebarlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”
Oleh itu janganlah menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah pada hari Jumaat kerana pelbagai ibadah yang dapat kita lakukan pada hari Jumaat seperti yang telah diterangkan sebelum ini jadi penuhilah ia dengan sebaik-baiknya.
PENUTUP
Nabi Musa as seta pengikutnya memiliki hari yang paling utama iaitu hari Sabtu manakala Nabi Isa as pula pada hari Ahad. Nabi ibrahim as pula memiliki hari Isnin sebagai hari keutamaannya. Hari seterusnya iaitu hari Selasa dimiliki oleh Nabi Zakaria as. Hari Rabu dipegang oleh Nabi Yahya as sebagai hari keutmaannya. Nabi Adam as pula memiliki hari Khamis dan Allah SWT menjadikan hari Jumaat sebagai hari yang paling istimewa untuk Nabi Muhammad SAW dan umatnya iaitu umat Islam pada masa sekarang kerana pada hari ini tersimpan keutamaan, fadhilat dan hikmah.
Pada hari Jumaat Allah SWT telah meletakkan kelebihan yang tidak terhingga. Pada hari inilah terciptanya Nabi Adam as, turunnya Nabi Adam as ke bumi serta hari wafat baginda. Pada hari Jumaat juga akan terjadinya kiamat.
Hari Jumaat adalah hari yang paling besar disisi Allah SWT, bahkan lebih besar dari Hari Raya Aidul Fitri dan Aidul Adha, kerana di antara malam dan siangnya tersimpan masa yang paling mustajab, tidak ada tabir penghalang doa insan terhadap Illahi yang berkemungkinan akan dimakbulkan selagi tidak meminta yang tidak sepatutnya. Pada hari Jumaatlah hari yang harus kita penuhi dengan sebaik-baiknya dengan beribadah kepada Allah SWT. Oleh itu, manfaatkan hari Jumaat yang akan datang dengan pelbagai amal ibadah yang boleh kita lakukan selagi kita mampu mengerjakannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan