Halaman

Sabtu, 30 September 2017

*PENJELASAN TENTANG AYAT KURSI DAN KHASIATNYA*

*PENJELASAN TENTANG AYAT KURSI DAN KHASIATNYA*
Ayat kursi adalah firman Tuhan, surah Al-Baqarah ayat 255. Ayat tersebut telah umum diketahui mengandungi khasiat yang besar sekali. Terdapat 99 buah hadist yang menerangkan kebesaran fadilatnya dan diantaranya ialah penolak syaitan, benteng pertahanan, melapangkan fikiran, meningkatkan keimanan dan sebagainya.
Ayat Kursi diturunkan pada suatu malam setelah hijrah. Menurut riwayat, ketika ayat kursi diturunkan disertai dengan beribu-ribu malaikat sebagai pengantaranya, kerana kebesaran dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis menjadi gempar kerana adanya suatu alamat yang menjadi perintang dalam perjuangannya. Rasulullah s.a.w segera memerintahkan kepada penulis al-Quran, iaitu Zaid bin Tsabit agar segera menuliskannya dan menyebarkannya.
Sebabnya ayat ini digelar ayat kursi adalah kerana didalamnya terdapat perkataan KURSI, ertinya tempat duduk yang megah dan bermartabat.
Kursi ini bukanlah yang dimaksudkan dengan tempat duduk Tuhan, tetapi kursi itu adalah syiar atas kebesaran Tuhan.
Allah s.w.t jadikan kursi meliputi tujuh lapisan langit dan bumi. Kebesaran tujuh lapisan langit dan bumi jika dibandingkan cumalah seumpama serumpun pohon kecil di tengah padang pasir yang luas manakala kursi adalah umpama padang pasirnya. Betapa besarnya kuasa kursi. Disamping kiri dan kanan kursi yang megah itu tercipta beribu-ribu kursi kecil untuk menambah keindahan dan kemegahannya yang duduk pada tiap-tiap kursi kecil. pada tiap-tiap kursi kecil terdapat malaikat yang membacakan ayat kursi dan malaikat yang mencatatkan pahala bagi orang yang membacanya.
BEBERAPA KHASIAT AYAT KURSI YANG DIPETIK DARI HADIST:
(1)
Imam Ghazali menerangkan dalam kitabnya, Khawasul Quran: bahawa ibnu kutaibah meriwayatkan sesuatu peristiwa yang terjadi di negeri Basrah, iaitu salah seorang pedagang kurma bernama Ka'ab telah pergi ke negeri Basrah membawa barang dagangnya untuk dijual di pasar Basrah. Setelah Ka'ab sampai ka'ab pun mencari tempat penginapan, tetapi semuanya telah dipenuhi oleh pedagang-pedagang yang datang terlebih dahulu. Kemudian ka'ab melihat sebuah rumah kosong, di dindingnya terdapat banyak sarang labah-labah. Rumah itu kelihatan telah lama tidak didiami orang. Ka'ab datang kepada tuan empunya rumah, ia ingin menyewa tempat itu selama lebih kurang seminggu. Kata yang tuan rumah, rumah itu bermisteri yang selalu menjadi buah mulut masyarakat. Menurut kata orang, rumah itu dihuni oleh jin Ifrit. Banyak orang yang mendiaminya binasa. Lalu ka'ab berkat, meskipun demikian, kerana tiada lagi tempat lain jadi saya bersedia tinggal di rumah itu asal saja yang empunya mengizinkan. "Baiklah". Kata yang tuan rumah. "Saya tidak keberatan dan saya tidak memungut sewa apa-apa"
Lalu ka'ab pun tinggal di rumah itu mulai senja dan tidak merasa takut. Tetapi setelah tengah malam ka'ab terlihat kelibat lembaga hitam dengan dua mata yang menyala seperti api datang mendekati ka'ab, lalu dengan segera ka'ab bangun dan membacakan: "Allaahulaa ilaaha illaa huwal hayyul qayyuum" tetapi lembaga hitam selalu mengikuti apa yang dibaca oleh ka'ab sehingga hampir pada ayat akhir. Apabila ka'ab membaca pada ayat yang terakhir berbunyi "Walaa ya uduhu hifdhuhumaa wa huwal 'aliyyul 'azhiim" tidak terdengar lagi suara yang mengikutinya.
Ka'ab hairan dan diulangnya lagi "Walaa ya uduhu hufdhuhumaa wa huwal 'aliyyul 'azhiim" ternyata suara itu tidak mengikutinya lagi. Lalu dibacanya berulang kali sehingga lembaga hitam itu pun lenyaplah dari pandangan ka'ab dan tercium bau seolah ada sesuatu yang terbakar. Kemudian ka'ab pun tidur tanpa ada gangguan lagi.
Menjelang pagi hari ka'ab terlihat di salah satu sudut rumah itu terdapat bekas-bekas debu seolah seperti sesuatu yang telah terbakar. Ketika itu ka'ab terdengar satu suara berkata: "Hai ka'ab, engkau telah membakar jin Ifrit yang ganas". Ka'ab hairan dan berkata: "Dengan apa aku membakarnya?" Jawap suara itu: "Dengan firman Tuhan 'walaa ya uduhu hifdhuhumaa wa huwal 'aliyyul 'azhiim".
(2)
Siapa yang membaca ayat kursi dengan dawam:
- setiap kali selesai sembahyang fardu.
- setiap pagi dan petang.
- setiap kali masuk dan keluar rumah.
- setiap kali masuk ke tempat tidur.
- pergi musafir.
Insyaallah ia akan dilindungi dari:
- godaan syaitan
- kejahatan raja-raja yang kejam
- kejahatan manusia
- kejahatan binatang-binatang buas
Dan terpelihara atas:
- dirinya
- keluarganya
- anak-anaknya
- hartanya
- rumahnya
- kemalangan
- kekaraman
- kebakaran
Dan mendapat keselematan serta kesihatan dengan izin Allah s.w.t.
Demikian yang terdapat dalam kitab khawasul Quran dari Imam Ghazali.
(3)
Terdapat keterangan dalam kitab-kitab Asrarul Mufidah: "Barang siapa mengamalkan membaca ayat kursi setiap kali sebanyak 18 kali insyaallah dengan izin Allah s.w.t dia akan:
- hidup berjiwa tauhid.
- dibukakan dada dengan pelbagai hikmat.
- dimudahkan rezeki.
- dinaikan martabatnya.
- diberikan pengaruh besar sehingga orang selalu segan kepadanya.
- dipelihara dari segala bencana.
(4)
Salah seorang ulama Hindi mendengar dari salah seorang guru besarnya dari Abi Lababah r.a, membaca ayat kursi sebanyak anggota sujud iaitu 7kali setiap hari, adalah benteng pertahanan Rasulullah s.a.w.
(anggota sujud ialah 7, yakni:
- dua tapak tangan
- dua tapak kaki
- dua lutut
- kening
(5)
Syekh Abdul 'Abbas Al-Bunni menerangkan: "Barang siapa membaca ayat kursi sebanyak hitungan perkataannya iaitu 50kali lalu ditiup pada air hujan kemudian diminumnya, insyaallah Tuhan akan mencergaskan akalnya dan memudahkannya faham pada pelajaran yang dipelajarinya.
Demikianlah keterangan yang didapati dalam kitab Khazinatul Asrar, halaman 148.
(6)
Siapa yang membaca ayat kursi sesudah selesai sembahyang fardu Allah s.w.t akan mengampunkan dosanya. Dan siapa yang membacanya ketika hendak tidur, akan terpelihara dari gangguan syaitan dan siapa membaca ketika sedang marah, maka akan hilang rasa marahnya.
(7)
Syekh Al-Buni menerangkan: siapa yang membaca ayat kursi sebanyak hitungan hurufnya iaitu 170 huruf, maka insyaallah Tuhan akan memberikan pertolongan pada segala hal dan menunaikan segala hajatnya dan melapangkan fikirannya, meluluskan rezekinya, menghilangkan kedukaannya dan diberikan apa yang dituntutnya.
Demikian keterangan yang terdapat dalam tafsiran Al-Qudsi.
(8)
Barang siapa membaca ayat kursi ketika hendak tidur maka Allah akan mewakilkan kepada dua malaikat yang menjaganya selama dia tidur sampai ke pagi.
Demikian sabda nabi Muhammad s.a.w dari Abi Qutadah.
(9)
Abdurrahman bin 'Auf menerangkan: bahawa apabila ia masuk ke rumahnya ia akan membacakan ayat kursi pada 4 penjuru rumahnya dan mengharapkan agar ayat kursi tersebut menjadi penjaga dan pedinding syaitan.
Demikian keterangan yang terdapat dalam tafsir Al-Qudsi.
(10)
Seorang pedagang sedang dalam perjalanan melalui padang pasir menuju sebuah negeri untuk menjual barang dagangnya, ia selalu diikuti oleh rombongan perompak. Apabila menjelang malam hari, ia membaca ayat kursi sebanyak 7kali dengan tujuan membuat dinding pertahanan sekitar dirinya dan juga hartanya sebelum ia tidur. Dibacanya ayat kursi terus menerus sehingga tertidur.
Ketika pagi hari dia didatangi oleh beberapa orang yang tidak dikenali lalu mereka berkata: "Wahai pedagang, padamu ada rahsia yang ajaib. Ketika kami hendak merompak harta benda mu pada malam hari dan ingin membunuh mu, kami melihat pagar besi yang tidak dapat ditembus pada sekitar tempat tidur mu. Berkali-kali kami datang ke tempat itu kami tetap melihat adanya pagar tersebut. Kami ingin mengetahui apakah amalan mu dan kami berjanji tidak akan lagi mengerjakan perbuatan jahat ini asalkan kamu memberitahu amalan yang digunakan oleh mu. Kemudian pedagang itu menjelaskan amalan yang digunakannya ayat kursi. (Khasaisul Qudsi)
(11)
Syekh Buni menerangkan: Siapa yang takut terhadap serangan musuh hendaklah ia membuat garis lingkaran dengan isyarat nafas sambil membaca ayat kursi. Kemudian masuklah bersama para jemaahnya ke dalam garis lingkaran tersebut dan menghadap ke arah musuh sambil membaca ayat kursi sebanyak perkataannya atau sebanyak hurufnya. Maka dengan perlindungan Allah s.w.t musuh tidak akan melihatnya dan tidak akan memudaratkannya.
(12)
Syaikhul Kabir Muhyiddin Ibnul Arabi menerangkan: Bahawa siapa yang membaca ayat kursi sebanyak seribu kali dalam sehari semalam kemudian dawan (atau terus menerus) membacanya sampai 40 hari maka demi Allah demi Rasul dan demi Al-Quran yang mulia, Tuhan akan membukakan baginya pandangan rohani, dihasilkan yang dimaksud dan diberi pengaruh kepada manusia.
Demikian keterangan yang terdapat di dalam kitab Khawasul Quran.
(13)
Abdullah Al-Qurtubi menerangkan: Bahawa ayat kursi ada mengandungi keistimewaan, di dalamnya terdapat ismul-a'zam, tersusun dalam 50 kata-kata, terdapat 17 nama Allah dhahir dan dhamir, terdapat 17 huruf mim dan 17 huruf waw. Ayat kursi membahas keEsaan zat Allah s.w.t dan kesempurnaan sifat-sifatnya.
(14)
Terdapat keterangan di dalam kitab Durrulmansur: Surah yang terafdal diantara surah-surah yang terdapat di dalam al-Quran adalah suratul Baqarah. Dan diantara ayat-ayat yang terbesar di dalam surah Al-Baqarah adalah ayat kursi. Sesungguhnya syaitan akan melarikan diri dari rumah jika membaca suratul Baqarah di dalam rumah.
(15)
Terdapat di dalam kitab Itqan: Bahawa siapa yang membaca empat ayat pada permulaan suratul Baqarah dan ayat kursi, ditambah dua ayat setelah ayat kursi kemudian ditutup dengan tiga ayat pada akhir suratul Baqarah, maka dia dan keluarganya tidak akan didekati syaitan. Dan jika dibaca pada orang gila, nescaya akan sembuh dengan izin Allah s.w.t.
~ Semoga bermanfaat kepada semua ~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan