Halaman

Sabtu, 9 November 2013

KASIH NABI KEPADA UMATNYA

Nabi Muhammad saw didatangi Jibril membawa khabar baik untuk umatnya. Jibril menyampaikan salam Allah kepada Baginda saw. lalu memberitahu Allah akan mengampunkan dosa umatnya setahun sebelum dia meninggal sekiranya dia bertaubat. Nabi Muhammad saw. mengatakan setahun terlalu lama; pelbagai perkara boleh berlaku. Baginda meminta Jibril kembali menghadap Allah minta dikurangkan. Jibril beredar menghadap Allah. Kali kedua Jibril berjumpa Nabi Muhammad mengatakan bahawa Allah akan mengampunkan dosa umatnya sebulan sebelum dia meninggal dunia jika dia bertaubat. Nabi Muhammad saw mengetahui kelemahan umatnya dan meminta Malaikat Jibril menghadap Allah sekali lagi. Jibril tanpa berlengah beredar sekali lagi. Kali ketiga berjumpa Nabi, Jibril mengatakan Allah akan menerima taubat umat Muhammad sehari sebelum meninggal dunia. Sebagai rasul yang menyayangi umat, Baginda masih menaruh harapan agar Allah melonggarkan syarat taubat bagi umatnya. Nabi meminta Jibril menghadap Allah untuk kurniaan seterusnya. Pada kali keempat, Jibril menemui Nabi dan mengatakan Allah bersedia menerima taubat umatnya selagi nyawanya belum sampai ke khalqum. Inilah kurniaan Allah yang bersifat dengan Ar-Rahim kepada hamba-hambanya. Lihatlah betapa Nabi sayangkan umat. Baginda tidak mahu melihat umatnya diseksa di neraka. Jika boleh Baginda ingin menyelamatkan keseluruhan umatnya dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Inilah sifat seorang pemimpin tulen yang tiada tolok bandingan di dunia ini. Sebagai umat, kita wajib bersyukur dengan berselawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw. Di atas pengorbanan dan dakwahnyalah maka kita dapat menikmati Islam dan Iman. Allahumma Salli Ala Saidina Muhammad wa ala aalihi wasahbihi wa sallam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan